Sunday, July 20, 2014

Always A Traveller #1



Weekend kali ni rasa penuh diisi dengan Yasmin Mogahed dan Mizz Nina. Tengok tak Always A Traveller- Reclaim Your Heart kat Astro Oasis tu? Pehh rugi gila kalau terlepas. Saya memang follow dua-dua orang ni sejak sekian lama, hee jadi memang menanti betul nak tengok benda ni. Tapi jangan risau, benda ni bawah Astro maka saya yakin sampai bila-bila pun ada je ulangan tanpa henti hee.

Saya suka Yasmin Mogahed punya pesanan. Setiap patah kata yg keluar dari bibir dia sangat simple, padat dan mudah nak faham untuk budak-budak generasi saya. Antara topik yang buat saya tersentuh dan teringat-ingat adalah tentang ujian dan dugaan. Persoalan yang Yasmin timbulkan-- Macamana kita nak tahu dugaan daripada Allah tu tanda sayang atau pun hukuman? Selama ni pun bukan tak pernah terfikir, cuma tak teringat pulak untuk mencari jawapan.

Maka jawab Yasmin, kita boleh tahu jawapan tu melalui cara penerimaan kita terhadap sesuatu dugaan. Kalaulah setiap kali ditimpa dugaan dibibir kita hanya meniti kata-kata rungutan-- Kenapa mesti aku/Apa salah aku/Kenapa jadi macam ni-- maka itulah hukuman untuk kita. Hati kita sendiri tak cukup bersih untuk nampak semua dugaan itu sebagai tanda kasih. Sebaliknya, kalaulah setiap kali dugaan yang datang itu disambut dengan redha dan pasrah-- itulah tanda Allah sayang pada kita :)

Apa yang saya sedar, kadang-kadang kita lupa dugaan tu datang bukannya sendirian. Dugaan datang selalunya satu pakej lengkap dengan pengajaran dan hikmahnya. Kita lupa sebab hikmah tu selalunya tak jatuh ke riba dan tak juga datang sekelip mata. Ada hikmah yang perlu kita cari sampai jumpa dan ada hikmah kita dapat lepas bertahun lamanya. Allah buat kita belajar, sikit demi sikit untuk masa depan yang belum tentu lagi bagaimana.



Lagi satu isu yang saya rasa penting untuk orang-orang macam saya adalah bila Mizz Nina mula bertanya tentang social media. Apa yang saya nampak sekarang, orang-orang yang mencipta social media obviously berjaya dalam membentuk behaviour seseorang. Dan penerangan Yasmin tu buat saya rasa sentap jugak nampaknya.

Katanya, social media buat kita rasa tak cukup sentiasa. Ramai orang cenderung untuk share their personal life tanpa banyak tapisan. Buat itu nak share gambar, buat ini nak update status. Maka situasi gini selalunya akan buat kita (mahupun orang lain) sentiasa dan tak henti-henti membanding-bandingkan keadaan hidup kita dengan orang lain. Nak jugak macam tu.. nak jugak macam ni.. Untung la macam tu.. Untung la macam ni. Sounds familiar? Haha. Haa toksah tipulah tak pernah ucap gitu bila tengok apa orang ada. Makanya, situasi gini akan berlarutan sehingga membuatkan kita terlupa bersyukur dengan apa yang sedia ada dengan kita. Yela, bilanya sempat nak fikir, hayati dan bersyukur kalau dah 24 jam asyik scroll Instagram/Facebook tengok life orang lain kan?

Dan kata Yasmin lagi, social media jugak mewujudkan sifat self-obsessed dalam diri manusia biasa. Rasanya perkataan self-obsessed tu sendiri pun dah mampu buat kita nampak bayangannya hehe. Naik basikal nak share gambar, makan oreo nak share gambar, beli beg baru nak share gambar, cat rumah pun nak share gambar, buat kuih punn nak share gambar. Apa saja yang kita buat semua nak snap & share je sekarang. Rasanya self-obsessed level tinggi sikit tu bila semua jenis social media dia penuh gambar selfie je.


Makanya, gila tak sentap diri sendiri ni pun. Hahaha. Cuma saya sendiri pun tak berapa berminat nak share semua tentang saya. Tak ada kepentingan pun nak ambek gambaq benda yang kita makan rasanya haha. 

Ya Allah banyak lagi nak dikongsi sebenarnya tapi saya dah tak larat taip muehehehe. Kalau belum tengok, boleh je bukak Youtube dan search Yasmin Mogahed Always A Traveller. Enam2 episod ada :) Lebih jelas dan bermanfaat. Saya tulis apa yang saya fikir dan suka je kat sini haha. Dah banyak ditapis ni. 

Ok nanti rajin episod lain pulak saya tulis hee.

Bukan karya seni.

Wednesday, June 18, 2014

Sabar



Pesan pada hati,
pesan ada diri--
Sabar itu bukan sekadar menunggu semata-mata.

Sabar itu adalah bila kita menerima ketentuan Allah dengan hati terbuka,
dengan penuh keyakinan kerana kita tahu Allah pasti beri yang terbaik buat kita.

Sabar itu adalah bila kita tidak merungut mahupun mempersoalkan walau apa jua dugaan menimpa,
malah bersyukur kerana dugaan ini tidaklah seteruk mana.

Sabar itu disertai dengan penerimaan, kepuasan serta kepercayaan pada Allah yang Maha Esa

Sabar itu tak datang sendiri,
melainkan kita yang melatihnya.

Fasobrun jamil.




Bukan karya seni.

Saturday, March 15, 2014

Ahsanu 'Amala

Setelah sekian lama tenggelam dalam dunia sendiri dan jiwa kosong tidak berisi, maka Khamis lalu saya memutuskan untuk mengikut roommate saya menghadiri satu ceramah di Akademi Pengajian Islam. Mulanya dia hanya bercerita itu ini mengenai program malam itu, but then bila dia mula menyatakan betapa sedihnya rushing untuk mandi, solat Maghrib, bersiap dan mengejar bas, maka saya mula terfikir-- mungkin ini salah satu peluang untuk memanfaatkan kereta Myvi saya di jalan yang benar dan berpahala. 


So I chose to be there, dipayungi sayap-sayap malaikat. Betullah, jiwa saya kosong sebenarnya sejak ke sini. Malam itu saya rasa puas, saya rasa hampir separuh penuh jiwa saya berisi. Ada secebis ketenangan yang dapat saya bawa pulang dan buat saya senyum hingga ke pagi. Tapi sayang, kalau saya tak spread and apply-- hari-hari yang seterusnya mungkin saya berjiwa kosong lagi.


Banyak sebenarnya isi yang boleh dikongsi. Tapi ada satu yang paling menarik perhatian saya dalam banyak-banyak patah kata ustaz malam itu. 




Surah Al-Mulk, ayat 2-- Aiyukum ahsanu amala. Siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Ahsanu 'amala. Amal yang baik. 


Ustaz cakap kayu ukur kepada ahsanu 'amala ada dua (berpandukan ulama)--
Satu, amalan-amalan baik seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasululah S.A.W. Dalam erti kata lain, amalan-amalan sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah.
Dua-- amalan-amalan yang paling ikhlas di sisi Allah. Ikhlas, lillahitaala. Contoh paling jelas yang boleh kita nampak; pernah dengar kisah pelacur yang diberi ganjaran syurga kerana beri anjing minum air? Ya, ikhlas itulah.Yang tak boleh diukur dengan mata kasar dan judgement manusia semata.


Kita asyik berlumba-lumba, mengejar pointer terbaik, mengejar gaji terbanyak, mengejar baju tercantik, mengejar rumah terbesar, mengejar kereta termewah--
lalu kita lupa bahawa semua itu akhirnya nanti akan ditinggalkan dan terbiar di dunia ini. Dan kita lupa lagi, berlumba-lumba antara kita mengejar ahsanu 'amala itu lebih penting dari segala harta yang ada di bumi.  Eh saya silap, daripada berlumba-lumba rasanya lebih baik kita tarik tangan keluarga dan sahabat bersama. 


Yeahh tulis memang senang. Cakap memang senang. Nak melaksanakan itu yang betul mencabar. Tambah-tambah buat penulis sendirilah. Sambil menulis sambil makan dalam. Pehhh. Tapi takda salahnya saya share. So that kita boleh apply dan masuk syurga ramai-ramai? Ihiiii.




Kbaiii Assalamualaikum!

Bukan karya seni.

Monday, October 21, 2013

Tidak Tersudahkan.




Dicelah-celah sunyi sepi malam itu
Bertemankan air mata dan tangis sedu
Ada dia yang terduduk kaku
Buntu tidak tahu hala tuju.


Letih,
tersepit antara dua penjuru
antara menjadi dia
yang sebenar-benar dia
atau ikutkan sahaja segala kata
agar semua hati terjaga.


Kadang lebih baik dibiarkan bisu tanpa kata
lebih baik didiamkan semua resah lara didada
biar dikisahkan pada Tuhan saja semuanya,
dari dikisahkan cerita pada mereka
yang tidak mengerti juga sampai sudahnya
atau mereka cuma pura-pura.


Biar diulang-kisahkan bagaimana sekalipun
tidak ada siapa peduli sakit peritnya dia menanggung
Biar dijerit-jeritkan sampai ke langit ke tujuh sekalipun
tiada siapa sedar pedih ngilunya makin menggunung
Biar dilaung-laungkan sekuat petala kelapan sekalipun
dia pasrah sampai sudahnya dia tetap perlu bertarung
--sendirian.


Maka biarlah --
dia bangun mencari mentari di tiap paginya
dengan nyawa yang disiat-siatkan
dengan nafas yang disekat-sekatkan


hanya untuk ditemukan lagi dicelah-celah sunyi sepi di malam harinya
terduduk kaku dan kekal buntu tidak tahu hala tuju
ditemani air mata dan tangis sedu
--semula.


Sampai sudahnya--
Dia berlari sendirian menuju Tuhan
membawa kisah yang tidak tersudahkan.

Bukan karya seni.

Tuesday, September 17, 2013

Setahun yang Perit.

17 September.
Setahun yang sangat panjang.
Setahun yang sangat sunyi.
Setahun yang sangat suram.


Tanpa riuh dan gelak tawanya.
Tanpa senda gurau dan nakalnya,
Tanpa bising dan bahang barannya.
Tanpa tangis dan dukanya.


Setahun.
Setahun yang perit.
Tanpa dia, yang sentiasa menjadi telinga bila aku perlu.
Tanpa dia, yang sentiasa menjadi bibir bila aku bisu.
Tanpa dia, yang sentiasa ada bila aku lesu.
Tanpa dia, yang sentiasa tahu bila aku buntu.


Sesal tak berkesudahan,
bimbang kasih yang dicurah-curah tidak ditunjuk terang-terangan itu
tidak kesampaian
bimbang sayang yang dicurah-curah selama ini tidak sempat dia ertikan
kerana antara sayang dan kasih kami itu sentiasa terselit pertelingkahan.


Pernah aku kisahkan lara hati aku
pada abah
kerana jarang aku ucapkan sayang pada dia
Tapi pendek dijawab abah
"tak mengapa, telingkah adik kakak itu sudah cukup
menandakan kasih"


Benarkah?
Benarkah abah?
Cukupkah?


Aku cuma yakin dengan Allah.
Yakin,
setiap patah kata yang aku kisahkan dalam doa itu,
Allah sampaikan pada dia.
Yakin,
setiap patah kata dalam doa untuk dia itu,
Allah makbulkan kerana Allah sangat sayang padanya.


Dan aku sangat yakin,
dalam setiap mimpi aku tentang dia,
itu dia.
Bukan sekadar mainan minda.
Kerana dia hanya diam tidak bersuara,
melihat, melambai dan tersenyum dari tepi sahaja.


Tuhan, jagakan dia sebaik-baiknya.
Temani dia dengan kasih sayang-Mu sampai syurga.
Limpahkan rahmat-Mu, moga dia sentiasa tenang di sana.
Sampaikan cinta dan kasih yang tak sempat aku sudahkan sebagai kakaknya.




Bukan karya seni.

 
Copyright © 2011 FathiahRaihanaAlFarasya. All Rights Reserved.