Friday, September 28, 2012

Kehilangan


Ramadhan yang lalu, adalah kali terakhir kami bersahur dan berbuka dengan dia. Syawal yang lalu, adalah kali terakhir kami menyambut Aidilfitri dengan dia. Dua minggu yang lalu, adalah kali terakhir aku bergaduh dengan dia. Dua minggu yang lalu, adalah kali terakhir aku bergelak ketawa dengan dia. Dua minggu yang lalu, adalah kali terakhir kami pergi dan balik sekolah bersama. Dan minggu lalu, adalah kali terakhir aku lihat wajah dia, kali terakhir aku cium pipi dan dahi dia. 


Ya. Itulah saat-saat terakhir aku dengan angah. Saat-saat terakhir mama dan abah dengan angah. Saat-saat terakhir alang dan kakcik dengan angah.


Ya. Angah telah kembali ke rahmatullah, 17 September yang lepas. Cukup sebulan Syawal berlalu. Cukup-cukup umurnya mencecah 17 tahun 4 September yang lalu. Allah ambil dia pergi sebelum dia benar-benar kenal dunia luar. Allah ambil dia pergi tika hati dan fikiran dia masih comel dan bersih macam kanak-kanak kecil. Allah ambil dia pergi, kerana Allah sayangkan dia. Itulah hakikatnya. Allah cuma pinjamkan dia untuk tempoh 17 tahun ini saja. 


Selepas pemergian dia, kami sekeluarga mula nampak hikmah disebalik segalanya yang pernah hadir dalam kamus hidup kami selama ini. Sungguh, Allah telah aturkan kisah hidup yang terbaik buat setiap hamba-Nya. Dan kami sangat yakin, pemergian dia kali ini juga ada hikmah yang lebih besar buat kami selepas ini.


Memang tak mudah. Tak ada siapa pernah mengatakan ia mudah apabila kita kehilangan insan yang kita sayang. Tapi cuma ada satu jalan sahaja untuk mengubati hati dari terus merasa pedih. Lepaskan dia pergi. Redha. Berdamai dengan takdir-Nya. Sedar hakikat bahawa kita semua adalah milik-Nya, dan akan kembali pada-Nya juga.


Memang perlukan masa, tapi itu sahaja cara yang ada. Yakin, dia sedang menanti di syurga. Dan kita di atas dunia perlu terus berusaha, moga berjumpa dia di sana. Bukan taknak lepaskan dia pergi. Bukan taknak terima hakikat dia tiada lagi disisi. Cuma kadang-kadang, jatuh juga air mata itu kerana rindu itu tiba-tiba hadir di dalam hati. Jatuh juga manik jernih itu, kerana kenangan bersamanya tiba-tiba menerpa ke dalam memori.


Aku tak pernah rasa kehilangan. Jadi dugaan ini adalah pahit untuk aku telan. Memang menerima kenyataan, tapi terkadang gugur juga air mata itu bila duduk bersendirian. Pedih. Payah. Tapi aku sendiri perlu kuat untuk adik-adik,mama dan abah. Tak sanggup lagi melihat air mata mama dan abah terus-terusan melimpah keluar dari tebingnya. Maka aku sendiri perlu kuat dan tabah.


Kakak janji, kakak akan kuat untuk mereka yang lain, walau kadang air liur yang ditelan pun rasa berpasir. Kakak janji, walau sekuat mana pun Allah menduga, tak akan sekali-kali kepala didongak ke langit, dengan  pandangan mata berkaca mempersoalkan takdir dan bertanya mengapa. Kakak janji, setiap ingatan kakak pada angah akan diiringi dengan doa.


Moga Allah jaga angah di sana. Moga Allah ampunkan dosa-dosa masa lalunya. Moga Allah temankan angah dengan penuh kasih sayang dan rahmat dari-Nya. Moga Allah sayang angah dan mudahkan urusannya di sana.

Mati itu pasti. Waktu sampai ajal tiada toleransi. Ajal tak kenal usia di bumi. Larilah ke ceruk bumi mana sekalipun, maut itu pasti datang tanpa kompromi. Sama ada ditunggu atau tidak, datangnya sebagai sebuah janji. Bayang maut itu boleh datang dengan merangkak, atau boleh datang dengan laju sekilas kilat besi. Tapi untuk akal dan hati menerima bukan semudah kita mengetahui hakikat-hakikat itu. -Hlovate, Contengan Jalanan.







We'll miss you forever my dear. Big time. May Allah bless.
AL-FATIHAH for my angah.



Bukan karya seni.

 
Copyright © 2011 FathiahRaihanaAlFarasya. All Rights Reserved.