Tuesday, September 17, 2013

Setahun yang Perit.

17 September.
Setahun yang sangat panjang.
Setahun yang sangat sunyi.
Setahun yang sangat suram.


Tanpa riuh dan gelak tawanya.
Tanpa senda gurau dan nakalnya,
Tanpa bising dan bahang barannya.
Tanpa tangis dan dukanya.


Setahun.
Setahun yang perit.
Tanpa dia, yang sentiasa menjadi telinga bila aku perlu.
Tanpa dia, yang sentiasa menjadi bibir bila aku bisu.
Tanpa dia, yang sentiasa ada bila aku lesu.
Tanpa dia, yang sentiasa tahu bila aku buntu.


Sesal tak berkesudahan,
bimbang kasih yang dicurah-curah tidak ditunjuk terang-terangan itu
tidak kesampaian
bimbang sayang yang dicurah-curah selama ini tidak sempat dia ertikan
kerana antara sayang dan kasih kami itu sentiasa terselit pertelingkahan.


Pernah aku kisahkan lara hati aku
pada abah
kerana jarang aku ucapkan sayang pada dia
Tapi pendek dijawab abah
"tak mengapa, telingkah adik kakak itu sudah cukup
menandakan kasih"


Benarkah?
Benarkah abah?
Cukupkah?


Aku cuma yakin dengan Allah.
Yakin,
setiap patah kata yang aku kisahkan dalam doa itu,
Allah sampaikan pada dia.
Yakin,
setiap patah kata dalam doa untuk dia itu,
Allah makbulkan kerana Allah sangat sayang padanya.


Dan aku sangat yakin,
dalam setiap mimpi aku tentang dia,
itu dia.
Bukan sekadar mainan minda.
Kerana dia hanya diam tidak bersuara,
melihat, melambai dan tersenyum dari tepi sahaja.


Tuhan, jagakan dia sebaik-baiknya.
Temani dia dengan kasih sayang-Mu sampai syurga.
Limpahkan rahmat-Mu, moga dia sentiasa tenang di sana.
Sampaikan cinta dan kasih yang tak sempat aku sudahkan sebagai kakaknya.




Bukan karya seni.

 
Copyright © 2011 FathiahRaihanaAlFarasya. All Rights Reserved.